Sokongan Bersatu mantapkan kempen BN di Chini

134

26 JUN: Selain menerima sokongan PAS, kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bertambah mantap dengan sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Bersatu Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, seluruh jentera parti di negeri tersebut termasuk sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi digerakkan bagi membantu calon BN, Mohd Sharim Mohd Zain.

Menurut beliau, kerjasama itu bagi memastikan calon BN yang ditentang dua calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli menang dengan majoriti besar.

MOHD YAZID MOHD YUNUS

“Kita mengambil dua pendekatan menggerakkan jentera dalam membantu kempen calon BN ini dan Sabtu ini juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sendiri dan jentera akan turun sekali berkempen.

“Pertamanya ada jentera kita bergerak sendiri bagi membantu kempen calon BN dengan mendekati pengundi melalui program atau aktiviti yang dijalankan manakala kita juga akan bergerak bersama calon dan juga bersama parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yazid yang merupakan Pengerusi Bersatu Bahagian Paya Besar memberitahu, pihaknya melihat sokongan pengundi kepada calon BN berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata, Mohd Sharim dilihat mempunyai kelebihan di DUN Chini untuk membantu penduduk setempat jika dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.

“Beliau bukan sahaja mempunyai sokongan daripada kerajaan negeri dan pusat malah beliau merupakan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan yang mampu mewakili golongan belia dan boleh menjadi penyampai suara kepada generasi lebih berusia.

“Selepas beberapa hari kita dah laksanakan proses kempen, nampaknya sokongan pengundi rata-rata terarah kepada calon BN dan kita yakin BN boleh menang dengan majoriti besar,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.