Serangan Houthi terhadap Arab Saudi jejas kestabilan Yaman

47

26 JUN: Malaysia menyifatkan serangan peluru berpandu dan dron oleh pemberontak Houthi terhadap Arab Saudi sebagai tindakan yang tidak produktif ke arah keamanan dan kestabilan di Yaman.

Wisma Putra dalam kenyataan media semalam menyatakan, tindakan pencerobohan selanjutnya akan memburukkan lagi keadaan di negara yang bergolak itu.

Sehubungan itu, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilancarkan oleh pemberontak Houthi tersebut.

“Selaras dengan sokongan Malaysia terhadap rayuan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 Mac lalu mengenai gencatan senjata global di tengah-tengah pandemik COVID-19, Malaysia menggesa semua pihak di Yaman agar segera menamatkan provokasi ini,” kata Wisma Putra.

Dengan kerjasama rakan kongsi serantau, inisiatif Malaysia melancarkan pernyataan sokongan kepada rayuan Setiausaha Agung PBB telah menerima sokongan lebih 170 negara anggota PBB, negara pemerhati bukan anggota dan pemerhati pada 23 Jun lalu.

Wisma Putra menambah, Malaysia akan terus menggesa semua pihak untuk bekerja secara konstruktif bagi penyelesaian politik untuk keamanan kekal di Yaman.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.