Sentimen rakyat positif, Sharim pasti menang

31

26 JUN: Melihat kepada kecenderungan dan sentimen rakyat yang positif, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain pasti tidak berdepan masalah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Keyakinan itu disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, banyak faktor penyumbang antaranya seperti penolakan terhadap calon-calon Bebas serta rekod perkhidmatan yang baik dari BN.

“Alhamdulillah saya lihat bahawa ‘mood’ dan sentimen amat positif ke arah BN, calon kita Mohd Sharim banyak faktor yang memihak kepada kita antaranya sudah tentu tahap keyakinan mereka kepada calon bebas amat rendah.

“Kedua, dari segi rekod perkhidmatan kita, sejarah pembelaan rakyat memang tidak boleh banding (Bebas) dengan BN,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran dan Penyerahan Borang Ibu Tunggal DUN Chini di Dewan Semai Bakti Chini 5, Pahang, semalam.

Najib yang juga Pengarah Operasi PRK DUN Chini menambah, BN menampilkan calon yang mewakili kumpulan majoriti pengundi di kawasan DUN berkenaan.

“Kita ada seorang calon mewakili generasi kedua dan pilihan raya ini lebih kurang 56 peratus terdiri daripada 40 hingga 21 tahun, belia.

“Jadi ini merupakan satu faktor yang besar yang mana calon kita boleh dianggap sebagai mewakili kumpulan ini,” jelasnya.

Dalam PRK DUN Chini, BN menampilkan Mohd Sharim, generasi kedua Felda Chini 3 yang merupakan Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan serta pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan.

Mohd Sharim yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat akan dicabar dua lagi calon Bebas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.