Semarakkan kembali industri pelancongan tempatan

49

26 JUN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyeru rakyat agar bersama-sama berganding bahu untuk menyemarakkan kembali industri pelancongan tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu berupaya menyelamatkan sektor pelancongan tempatan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Demi menyelamatkan sektor pelancongan Malaysia, marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk menyemarakkan kembali dan mengukuhkan ekonomi negara dengan melancong secara domestik,” katanya dalam hantaran melalui laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau memberitahu, Malaysia telah menjadi destinasi pilihan pelancong sejak berdekad-dekad lalu.

Menurut Nancy, rakyat juga seharusnya mengambil kesempatan untuk melancong dalam negara sendiri.

“Pergilah jalan-jalan makan angin dan kenali bumi Malaysia,” jelasnya.

Hari ini, Nancy dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Noor Zari Bin Hamat dan pengurusan tertinggi kementerian mengadakan lawatan ke pelbagai lokasi pelancongan di sekitar Batang Sadong, Sarawak.

Dalam hantaran Facebook berasingan, Nancy menjelaskan, program itu bertujuan melihat pelbagai tempat dan produk pelancongan, seni dan budaya yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai permulaan promosi ke arah pelancongan domestik di negara ini.

“Marathon kami hari ini bermula dari Galeri Songket Gedong, Gunung Ngeli, Dewan Warisan Kebudayaan Batang Sadong bersebelahan Jambatan Batang Sadong dan beberapa lagi tempat di Simunjan, Gedong dan Sadong Jaya.

“Kita mulakan dengan potensi pelancongan di luar bandar dulu ya,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.