Selepas Che Nah, 60 penjaja bakal diberi lesen perniagaan

48

26 JUN: Selepas Che Nah mendapat lesen perniagaan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, seramai 60 penjaja lagi di Jalan Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur bakal menerima manfaat yang sama.

Annuar berkata, dirinya amat berpuas hati dengan sikap penjaja di situ, walaupun tidak mempunyai lesen perniagaan, setiap daripada mereka mematuhi arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurutnya, semua penjaja adalah penduduk tempatan yang mengusahakan makanan dan menjualnya sendiri untuk mencari rezeki menyara keluarga.

“Saya walkabout secara kebetulan di Jalan Taman Setapak Indah dan melihat penjaja ini menjalankan aktiviti perniagaan secara berkhemah.

“Selepas meninjau dan berbual dengan mereka, saya berpuas hati dan Insya-Allah, saya akan beri lesen kepada semua 60 penjaja ini minggu depan,” katanya menerusi ciapan dalam akaun Twitter miliknya, hari ini.

Terdahulu, Annuar sendiri menyerahkan lesen perniagaan kepada Che Nah yang berniaga nasi dagang di Jalan Medan Setia, Kuala Lumpur pada 4 Jun lalu.

Che Nah, 71, kemudian melakukan sujud syukur kerana terlalu gembira dan terharu mendapat lesen perniagaan selepas menunggu 35 tahun mengusahakan perniagaan trak makanan di ibu kota.

Namun, Annuar berharap agar tiada orang tengah mengambil kesempatan di atas pemberian lesen kepada 60 penjaja itu.

“Saya berpuas hati,walau mereka tak berlesen, mereka penjaja yang tulin. Jangan ada orang tengah yang ambil kesempatan ya?,” katanya. – AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.