Rakyat puas hati pentadbiran PN

101

26 JUN: Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, beliau yakin rakyat kini berpuas hati dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdasarkan prestasi ditunjukkan sejak mentadbir negara akhir Februari lalu.

Bagi beliau, tiada isu untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat berikutan kerajaan bukan sahaja berbelanja berbilion ringgit malah segala keutamaan yang perlu diberi perhatian tidak dapat diteruskan.

“Saya kira lebih baik tunggu sampai tempoh sesuai untuk PRU diadakan bagi membenarkan pentadbiran diteruskan dan rakyat dapat bekerja dengan baik termasuk sektor industri yang baharu sahaja beroperasi sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKKP),” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan beberapa pemimpin politik mengenai kewajaran untuk mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat.

Beliau menambah, sebarang keputusan mengenai keperluan untuk mengadakan PRU-15 juga terletak di tangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, rakyat lebih gembira dengan kerajaan sekarang malah kebanyakan mereka menyatakan ini adalah kerajaan terbaik setelah mengalami zaman ‘gerhana’ selama 22 bulan.

Gesaan beberapa pemimpin politik supaya diadakan PRU dalam masa terdekat jelasnya, ia dilihat masih belum sesuai diadakan.

“Banyak isu yang masih belum selesai dan perlu diberi keutamaan oleh kerajaan.

“Dari segi Islam ia digelar fiqh al-aulawiyat yang bermaksud keutamaan di mana keutamaan perlu diberi perhatian kerajaan buat masa ini ialah menyelesaikan terlebih dahulu isu-isu rakyat seperti kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan mereka,” katanya.

Rosol berkata, negara ini masih belum selesai menangani wabak COVID-19
malah masih belum boleh angkat bendera mengatakan telah menang melawan virus itu.

“Kerajaan juga masih perlu memikirkan pelbagai langah terbaik untuk mengatasi masalah berbangkit ekoran penularan wabak ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.