Muhyiddin, Hsien Loong bincang isu pembukaan pintu sempadan

56

26 JUN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong hari ini mengadakan perbincangan mengenai pembukaan semula pintu sempadan kedua-dua negara pasca COVID-19, tidak lama lagi.

Muhyiddin berkata, beliau berbuat demikian susulan kepada perbincangan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan yang membincangkan isu sama pada 24 Jun lalu.

“Kami sepakat pembukaan semula sempadan negara perlu dilakukan secara berhati-hati dan mengikut garis panduan serta protokol kesihatan tertentu demi menjana semula sektor ekonomi serta pelancongan yang tentunya akan memberi manfaat besar kepada kedua-negara negara.

“Mengenai keperluan mewujudkan ‘Reciprocal Green Lane’ antara kedua-dua negara bagi menjamin kelancaran pergerakan, Malaysia bersedia bekerjasama dengan Singapura agar dapat dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya menerusi hantaran akaun Facebook miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau dan rakan sejawatnya juga membangkitkan mengenai urusan berulang-alik ‘Periodical Commuting Arrangement (PCA)’ antara Malaysia-Singapura, di mana jika dilaksanakan akan memudahkan urusan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

Muhyiddin berkata, di bawah pengaturan ini, penduduk kedua-dua negara boleh bekerja di negara lain bagi tempoh kurang tiga bulan dan akan dibenarkan memasuki negara asal mereka ketika pulang bercuti.

“Cadangan ini dilihat selaras dengan keprihatinan Kerajaan mengenai nasib rakyat Malaysia khususnya yang bekerja di Singapura dan tidak dapat pulang ke rumah berikutan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin yang ketat di kedua-dua negara.

“Kami yakin isu berkaitan SOP dan protokol kesihatan yang sedang diperhalusi diperingkat menteri dan pegawai kanan Kerajaan serta pakar kesihatan kedua-dua negara dapat menyokong cadangan pembukaan semula sempadan dan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat sekali gus menangani kebimbangan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau mengakhiri perbualan dengan meminta Hsien Loong memberi pertimbangan sewajarnya dalam membenarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.

“Sebarang keputusan mengenai perjanjian ini bagaimana pun bergantung kepada tahap kesediaan kedua-dua negara, meliputi aspek kapasiti melaksanakan ujian saringan dan ujian swab COVID-19,” katanya. – HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.