KDNK Malaysia 2020 susut 3.1% – Bank Dunia

11

26 JUN: Bank Dunia menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini menyusut sebanyak 3.1 peratus berbanding jangkaan awal iaitu -0.1 peratus pada April lalu berpunca daripada ketidaktentuan kesan pandemik COVID-19.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Bank Dunia memberitahu, pertumbuhan pada suku pertama tahun ini dijangka perlahan kepada hanya 0.7 peratus di mana usaha membendung penularan COVID-19 telah menyekat banyak aktiviti ekonomi.

“Sebahagian pemulihan dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini kerana wabak semakin berkurangan dan sekatan perjalanan mula dilonggarkan,” jelas Bank Dunia.

Bank Dunia berkata, ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh atas asas yang kuat.

Menurutnya, struktur kepelbagaian ekonomi, sistem kewangan yang kukuh, respon kesihatan awam yang efektif serta sokongan makroekonomi yang proaktif menjadikan Malaysia mampu berhadapan dengan cabaran lebih baik berbanding negara-negara lain.

Jelas Bank Dunia, dalam tempoh jangka pendek, keutamaan strategi fiskal Malaysia perlu disusun semula bagi membuka ruang kepada polisi tambahan.

Bank Dunia berkata, kerajaan mungkin perlu membuat peruntukan semula perbelanjaan mereka kepada sektor-sektor yang diberi keutamaan di samping mengenal pasti sumber pendapatan bukan cukai dan pindaan legislatif bagi menambah ruang fiskal untuk sementara waktu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.