Dunia mesti tolak rancangan Israel rampas tanah Palestin

384

26 JUN: Malaysia menggesa komuniti antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar mengutuk dan menolak rancangan pengambilalihan rejim Zionis Israel terhadap bahagian Wilayah Palestin Yang Diduduki di Tebing Barat.

Gesaan itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 yang diadakan secara persidangan maya.

Seperti yang ditegaskan oleh beliau, komuniti antarabangsa perlu memastikan agar rancangan tersebut tidak akan dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sangat prihatin terhadap nasib rakyat Palestin yang berterusan berdepan dengan keadaan ketidakstabilan di Asia Barat.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya dan menolak pengumuman baru-baru ini oleh Israel untuk melaksanakan rancangan pengambil alihan bahagian Wilayah Palestin Yang Diduduki di Tebing Barat,” katanya dalam sidang berkenaan dari Putrajaya, hari ini.

Vietnam selaku Pengerusi ASEAN tahun ini merupakan hos sidang tersebut.

Sidang itu turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Muhyiddin menambah, Kuala Lumpur akan terus berdiri teguh dan bersatu padu dengan rakyat Palestin.

Beliau menyatakan, rancangan pengambilalihan itu semakin mengurangkan prospek penyelesaian dua negara yang disokong oleh komuniti antarabangsa.

“Tindakan haram dan sebelah pihak oleh Israel jelas mempertikaikan keikhlasannya terhadap penyelesaian keamanan dan damai terhadap konflik Israel-Palestin yang telah lama berlarutan,” jelasnya.

Malaysia telah lama memperjuangkan penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin.

Kerajaan perpaduan Israel, dibentuk antara Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan pesaing politiknya Benny Gantz pada Mei lalu, menandatangani perjanjian yang membenarkan rejim Zionis untuk memulakan undang-undang untuk pengambil alihan sebahagian besar wilayah yang diduduki di Tebing Barat bermula 1 Julai.

Tebing Barat, termasuk Jerusalem Timur, telah berada di bawah penjajah Israel sejak Perang Enam Hari 1967 dan diianggarkan 700,000 penduduk haram Israel menduduki wilayah berkenaan.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres, pada perjumpaan maya Majlis Keselamatan PBB kelmarin telah menggesa rejim Zionis Israel agar membatalkan rancangannya untuk mengambil alih bahagian Tebing Barat yang diduduki.

Dalam persidangan tersebut, Malaysia turut meminta Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) bekerjasama erat dengan ASEAN bagi mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga.

Muhyiddin berkata, kesan limpahan krisis wilayah Rakhine terus memberi impak kepada rantau ini, justeru meminta ASEAN mencari penyelesaian yang berkesan untuk krisis tersebut.

“Apa yang kita dilakukan dalam ASEAN untuk saling membantu dalam mencari jalan penyelesaian yang efektif untuk wilayah Rakhine?

“ASEAN perlu melakukan lebih banyak untuk membantu Myanmar dan negara itu perlu lebih berusaha membantu diri bagi menyelesaikan krisis ini supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih bermakna,” ujarnya.

Perdana Menteri memberitahu, Malaysia tidak lagi dapat menampung lebih ramai pelarian kerana sumber dan kapasitinya sudah mencapai hadnya, ditambah dengan pandemik COVID-19.

“Secara tidak adil, Malaysia diharapkan melakukan lebih banyak usaha untuk menampung kedatangan pelarian ke negara ini.

“Walaupun, Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, kami menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pelarian etnik Rohingya dan pelarian lain dari Myanmar.

“Tetapi situasi ini tidak boleh berterusan selama-lamanya,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan, Malaysia secara konsisten menyokong penyelesaian jangka panjang dan berkekalan terhadap penderitaan etnik Rohingya di wilayah Rakhine yang semakin mudah terdedah kepada eksploitasi termasuk jenayah merentas sempadan seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan perhambaan.

“Penafian dan kekecewaan boleh mendorong mereka berpotensi direkrut oleh kumpulan pengganas dan puak pelampau yang kekal berdiam diri semasa pandemik.

“Sikap berdiam diri tidak boleh dianggap sebagai tidak aktif kerana kumpulan tersebut masih menimbulkan ancaman keselamatan yang serius kepada rantau ini,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata ASEAN perlu mengamalkan pendekatan menyeluruh bagi memerangi dan membendung pergerakan orang yang tidak teratur untuk mencegah dan menghukum anggota sindiket pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi mangsa pelarian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.