PM Ketuai Delegasi Malaysia Sidang Kemuncak ASEAN

97

25 JUN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 menerusi sidang video, esok.

Sidang kemuncak berkenaan bakal dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc berikutan republik berkenaan adalah Pengerusi ASEAN 2020.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara agenda utama sidang kemuncak berkenaan termasuklah meneliti isu-isu serantau dan antarabangsa terutama pasca pandemik COVID-19.

Menurut Hishammuddin, sidang kemuncak berkenaan juga akan membincangkan proses dan keutamaan pembinaan Komuniti ASEAN
dan pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2025.

Mesyuarat ini juga akan memperincikan langkah-langkah pemulihan yang komprehensif bagi menangani impak COVID-19. Ini adalah susulan perbincangan sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN Khas mengenai COVID-19 pada April lalu.

“Pemimpin-pemimpin ASEAN juga dijangka mengesahkan dokumen bertajuk ASEAN Leaders’ Vision Statementon a Cohesive and
Responsive ASEAN: Rising above Challenges and SustainingGrowth
,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Perdana Menteri bersama pemimpin ASEAN lain juga akan mengambil bahagian dalam Sesi Khas Pemimpin-pemimpin ASEAN di Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 mengenai Pemerkasaan Wanita di Era Digital.

Katanya, Perdana Menteri juga akan mengadakan tiga pertemuan dengan wakil Parlimen ASEAN, Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN.

“Insya-Allah, Perdana Menteri sendiri akan menyampaikan ucapan bagi menyuarakan pendirian Malaysia kepada rakan negara ASEAN semasa sidang kemuncak ini,” katanya.

Terdahulu, Hishammuddin mengesahkan beliau telah menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 secara sidang video, semalam bagi membincangan pelbagai isu membabitkan hubungan dan kepentingan negara anggota.

Berikutan itu Hishammuddin turut menyertai tiga mesyuarat yang membabitkan semua Menteri Luar ASEAN, iaitu Informal Meeting of ASEAN Foreign Ministers; 21st ASEAN Political-Security Community (APSC) Council Meeting dan 26th ASEAN Coordinating Council (ACC) Meeting.

“Dalam siri mesyuarat ini, pelbagai isu serantau dan antarabangsa telah dibincang dan disuarakan oleh Menteri Luar ASEAN termasuk saya sendiri bagi pihak Malaysia.

“Isu-isu yang telah dibincangkan ini termasuklah perihal berkaitan Laut China Selatan, perkembangan di Wilayah Rakhine, isuPalestin, perlucutan senjata nuklear, ancaman keselamatan bukan tradisional dan paling penting ialah usaha menangani cabaran landskap dunia baharu pasca pandemik Covid-19,” katanya.

Hishammuddin berkata ,mesyuarat berkenaan turut dimanfaatkan untuk memperhalusi keberangkalian membenarkan pergerakan rakyat antara dua negara dalam rantau ASEAN yang dikategorikan sebagai zon ‘hijau’atau dipanggil konsep Green Bubble.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata, pergerakan rakyat antara dua negara ini penting bagi menjana semula sektor pelancongan dan ekonomi serantau.

“Menteri-menteri Luar ASEAN semalam turut bertukar pandangan dan berkongsi cadangan berhubung usaha pemulihan sektor ekonomi dan perdagangan ASEAN pasca COVID-19.

“Usaha ini amat penting memandangkan nasib dan kekuatan ekonomi negara ASEAN amat berkait antara satu sama lain. Dan ini jugalah sebabnya semua negara ASEAN perlu pastikan rantaian bekalan di rantau ini kekal bebas dan terbuka,” katanya.

Malah, Hishammuddin berkata, dengan populasi 650 juta penduduk, jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS$3.3 trillion, nilai perdagangan global yang mencecah AS$3.4trillion; impak ekonomi dan perdagangan susulun krisis COVID-19 di ASEAN tidak boleh dipandang remeh.

“Sebentar lagi saya akan bertemu Perdana Menteri. Dalam pertemuan ini, saya akan berkongsi pandangan kepada beliau berhubung perkara yang perlu dan boleh disuarakan Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN berdasarkan kepada input-input yang diperoleh dalam siri mesyuarat saya bersama Menteri-menteri Luar ASEAN semalam.

“Saya juga ingin kongsikan serba sedikit kepada saudara saudari mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 secara persidangan video, esok. Delegasi Malaysia akan diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya. – HAIKA GHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.