PKR P. Pinang sahkan Dr Afif dipecat parti

126

25 JUN: PKR Pulau Pinang mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin telah dipecat dari parti itu.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik menyatakan perkara tersebut dalam kenyataan media, semalam.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan butiran terperinci tentang pemecatan Dr Afif.

“Beliau (Dr Afif) sebelum ini telah digugurkan sebagai Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, dilucutkan hak sebagai ADUN kerajaan Pakatan Harapan negeri bersama dua ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia selepas disahkan penggantungan serta pemecatan keanggotaannya oleh Lembaga Disiplin PKR,” katanya.

Status keahlian seorang lagi wakil rakyat PKR iaitu ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim juga tidak dinyatakan.

Muhammad Bakhtiar cuma mengecam Zulkifli ekoran tindakan beraninya menyelar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Segala tutur kasar yang keluar daripada individu sebegini – hanyalah mempamerkan kedengkian serta sikap tidak bertanggungjawab demi kepentingan diri sendiri, membelakangi arus perjuangan rakyat,” jelasnya.

Semalam, Dr Afif mengesahkan beliau bersedia menjadi wakil rakyat Bersatu dan duduk di blok pembangkang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, November ini.

Beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan di Putrajaya, kelmarin.

Pertemuan tersebut turut disertai Zulkifli dan tiga ADUN dari Pulau Pinang iaitu ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishak; ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim dan ADUN Penaga, Mohd Yusni Mat Piah. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.