Perang Anwar-Mahathir tidak pernah reda

72

25 JUN: Perebutan jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan ‘perang’ antara kedua-dua pemimpin politik Malaysia berkenaan tidak pernah reda.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, perebutan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar juga menunjukkan ‘hipokrasi’ DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat kembali berkuasa.

Beliau yang juga pengasas Gerakan Pembela Ummah (Ummah) juga percaya DAP dan Amanah sanggup bekerjasama sama ada dengan Anwar atau Dr Mahathir asalkan Pakatan Harapan (PH) dapat kembali berkuasa dan menubuhkan kerajaan semula.

“Pemimpin DAP bukan jenis orang yang mempunyai semangat setia kawan sebagai contoh dulu mereka pernah bergabung dengan PAS, namun selepas timbul isu dan tidak memerlukan sokongan PAS mereka tendang keluar parti Islam berkenaan.

“Begitu juga DAP pernah menyokong Anwar dari era reformasi, Pakatan Rakyat (PR) hingga ke PH tetapi akhirnya mereka meninggalkan Presiden PKR dan mengangkat Dr Mahathir sekali lagi sebagai bakal Perdana Menteri ke-9,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Aminuddin menambah, DAP tergamak meninggalkan Anwar selepas mereka bekerjasama selama berbelas tahun.

Beliau memberitahu, sama ada DAP, Amanah menggunakan atau memperkudakan Dr Mahathir atau sebaliknya tidak timbul kerana dalam politik mereka saling bergantung dan mengguna serta dipergunakan demi mencapai matlamat peribadi masing-masing.

“Saya rasa Dr Mahathir pun menggunakan DAP dan Amanah untuk mencapai matlamatnya (menjadikan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri seterusnya),” katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, situasi sekarang tidak berpihak kepada Anwar dan menyebelahi Dr Mahathir kerana bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh berkenaan dikatakan mendapat restu Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sebahagian besar ahli Parlimen Sarawak untuk menjadi calon Perdana Menteri kesembilan.

“Anwar tidak berjaya mencapai hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri kerana agenda perjuangannya sempit hanya untuk kepentingan peribadi dan terlalu liberal tetapi DAP mempunyai agenda tersembunyi lebih besar dan tidak difahami oleh orang Melayu.

“Jadi saya tidak faham kenapa Anwar atau Dr Mahathir masih bertuankan dan sedia berkhidmat dengan DAP yang banyak menyebabkan pepecahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia sejak dari dulu lagi,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau yakin mereka berbuat demikian untuk kembali berkuasa dan memenuhi agenda peribadi masing-masing.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.