Menteri Kanan Singapura bersara daripada politik

90

25 JUN: Menteri Kanan Singapura, Goh Chok Tong memutuskan bersara daripada politik pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam akaun Facebook milik beliau hari ini.

Ini bermakna bekas Perdana Menteri itu tidak akan bertanding dalam PRU Singapura akan datang selepas 44 tahun menjadi ahli Parlimen

Menurut Hsien Loong, beliau ‘rasa amat sedih’ apabila menerima keputusan Chok Tong menerusi sepucuk surat yang disampaikan kepadanya.

“Kami telah bekerja bersama-sama selama hampir 40 tahun,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Hsien Loong berkata, Chok Tong menyatakan dalam surat itu tentang perjalanan politik luar biasa dan menjadi ahli Parlimen kawasan Marine Parade pada usia 35 tahun dengan berkhidmat mewakili kawasan itu sejak 1976.

“Beliau pernah memegang pelbagai portfolio sebelum diminta oleh rakan-rakan menteri (termasuk saya) menjadi Perdana Menteri kedua Singapura dan beliau tidak mengecewakan Singapura.

“Saya secara peribadi akan selamanya terhutang budi pada Chok Tong yang membawa saya menceburi politik. Persahabatan kami amat akrab sepanjang kerjaya saya dalam politik dan begitu juga beliau – persahabatan erat antara dua perdana menteri yang dicemburui banyak negara,” katanya.

Hsien Loong, mewakili semua rakyat Singapura mengucapkan terima kasih kepada Goh atas ‘perkhidmatan cemerlang kepada negara dan rakyat selama ini.’

“Quo Vadis, Chok Tong? Apa juga yang anda pilih untuk lakukan, saya mengucapkan selamat bersara dan semoga sentiasa gembira,” katanya
sebelum menamatkan catatannya.

Kira-kira 2.6 juta pemilih akan mengundi pada Pilihan Raya Umum 10 Julai ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.