Koperasi perlu rebut peluang perniagaan e-Dagang

74

25 JUN: Gerakan koperasi di negara ini disaran merebut peluang perniagaan menggunakan platform e-Dagang dalam keadaan norma baharu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, gerakan koperasi yang sudah hampir 100 tahun kewujudan di negara ini mempunyai lebih enam juta anggota.

Menurut beliau, ia turut dibantu dibawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang merupakan sebuah agensi kerajaan dengan mengawal selia dan membangunkan gerakan koperasi di negara ini.

“Gerakan koperasi mampu membantu kerajaan dalam melaksanakan pelbagai program bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan dibuat secara telus, adil dan saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran akaun Facebook miliknya ketika mengadakan lawatan ke SKM hari ini.

Dalam lawatan itu beliau diberi taklimat mengenai operasi dan urus tadbir SKM oleh Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Haron.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek; Penasihat SKM, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yassin dan Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.