Kerajaan laksana OACP cegah rasuah sektor awam

65

25 JUN: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang diadakan secara sidang video selari dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Muhyiddin berkata, mesyuarat JKKMAR berkenaan membuat beberapa keputusan penting termasuk bersetuju meneruskan dasar terdahulu seperti memperkukuhkan akauntabiliti dan integriti ahli Parlimen melalui dasar pengisytiharan harta dan penerimaan hadiah.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat berkenaan juga bersetuju melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) dan Penilaian Risiko Rasuah (CRM) di semua kementerian/ sektor awam untuk kawalan pencegahan rasuah yang efektif.

“Kita juga bersetuju memantapkan lagi sistem pencegahan rasuah di sektor swasta melalui Beneficiary Ownership dan entiti perniagaan mengikut Garis Panduan Tatacara Mencukupi.

“Selain itu, mesyuarat hari ini juga bersetuju meningkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam bagi mengelak ketirisan dana awam dan menumpukan kepada isu-isu ekonomi terutamanya kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, JKKMAR secara prinsipnya bersetuju dengan syor Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) supaya semua kementerian dan agensi yang bertanggungjawab mengeluarkan permit dan lesen menerbitkan Garis Panduan Permohonan Lesen yang akan dipaparkan secara dalam talian untuk makluman umum.

Katanya, pendekatan berkenaan bertujuan mewujudkan mekanisme yang lebih telus dalam proses pengurusan permit dan lessen, meningkatkan integriti dan mengelak berlakunya rasuah.

“Bagi memantapkan proses tatatertib dalam perkhidmatan awam, mesyuarat secara prinsipnya bersetuju satu kajian komprehensif
dilaksanakan bagi menambah baik pematuhan Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Laporan Suruhanjaya Integriti
Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

“Menyedari keperluan mewujudkan dasar bagi menjamin integriti persekitaran digital, mesyuarat secara prinsipnya juga bersetuju dengan
cadangan dikemukakan Cyber Security Malaysia supaya satu kajian dilaksanakan bagi mendapatkan bukti empirikal keperluan dasar
anti-rasuah digital serta mengenal pasti keperluan perundangan berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut dimaklumkan mengenai Status Perisytiharan Harta Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen sepertimana dinyatakan di dalam Kod Etika Anggota Pentadbiran, bahawa setiap anggota pentadbiran perlu membuat perisytiharan harta dalam tempoh tiga bulan dari tarikh mengangkat sumpah.

“Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui  pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023, bagi memastikan hasrat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan,” katanya. – HAIKA GHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.