KBS, KPM kerjasama bangunkan generasi berkualiti

58

25 JUN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan inisiatif Kolaborasi Rentas Kementerian bagi membangunkan generasi Malaysia berkualiti bermula di peringkat sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerjasama itu amat bermakna kerana sekolah bermulanya fasa anak-anak Malaysia dibangunkan yang akhirnya menjadi kumpulan belia di negara ini.

Menurut beliau, dalam memenuhi hasrat itu, asas perlu dilakukan di peringkat sekolah dan percaya sistem sekolah mampu melahirkan generasi masa depan yang diinginkan.

“Antara perkara penting dibincangkan adalah penyelarasan usaha-usaha membangunkan anak muda melalui pembangunan bakat sukan serta pembangunan bakat kepemimpinan.

“KBS dan KPM telah lama menjalinkan kerjasama rapat khususnya dalam aspek pencarian bakat sukan di pelbagai peringkat dan ia akan diperkasakan lagi termasuklah perkongsian kepakaran, fasiliti dan kemudahan serta silang kemahiran,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungi ke Kementerian Pendidikan yang disambut Menterinya, Senator Dr. Radzi Jidin.

Reezal Merican menambah, aspek pembangunan belia juga diberi penekanan dan kedua-dua kementerian itu sedang melihat inisiatif berterusan agar bakat anak muda diasah sedari awal dengan nilai kepemimpinan, perpaduan, kerjasama serta disulam nilai-nilai cintakan negara.

“Saya sempat menyentuh soal anak muda yang berpotensi menjadi belia keciciran seperti mana saya sebutkan dalam hantaran terdahulu mengenai kumpulan belia resah NEET — not in education, employment and training.

“Kerjasama ini akan melihat pendekatan dan intervensi yang boleh diambil bersama bagi memastikan polisi berkesan dapat dirangka khusus untuk kumpulan itu,” ujarnya.

Beliau akan terus menjelajah ke kementerian lain dengan membawa suara anak muda dan belia.

“Sekiranya ada sebarang pandangan dan cadangan membina untuk pembangunan belia, saya jemput saudara dan saudari untuk kongsikan.

“Mungkin saudara-saudari boleh cadangkan juga, Kementerian mana yang patut saya singgah selepas ini? Beri cadangan anda kepada saya menerusi akaun Facebook saya,” ujarnya. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.