Isu Rohingya: Perlu perbincangan tanpa emosi

42

25 JUN: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, isu pelarian Rohingya bukan mudah untuk diselesaikan terutama ketika rantau ASEAN dan dunia berdepan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, apa yang penting isu itu perlu dibincangkan secara rasional dan tanpa emosi serta menyuarakan kebimbangan Malaysia di platform ASEAN.

“Perkembangan di Wilayah Rakhine dibincangkan semasa mesyuarat Menteri Luar ASEAN semalam dan berharap isu itu dapat dibangkitkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36, esok,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya seperti dilaporkan BERNAMA hari ini.

Hishammuddin turut memberitahu, perbincangan antara Malaysia dan Singapura mengenai pembukaan pintu sempadan kedua-dua negara ketika ini adalah positif.

“Saya agak positif …tetapi sudah tentu akan ada pihak yang melihatnya secara negatif tetapi mereka tidak terlibat dalam perbincangan dan tidak tahu apa yang saya telah bincangkan dengan menteri luar Singapura,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura akan memberi tumpuan pada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang akan memanfaatkan kedua-dua negara.

Berdasarkan perbincangannya dengan Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan, beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju tentang kepentingan SOP dan protokol kesihatan.

“Apa yang penting adalah mengambil pendekatan langkah demi langkah untuk memastikan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara berjalan lancar dan selamat dan memberi manfaat kepada kita dalam semua sektor,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekiranya pembukaan semula sempadan tidak dapat dilakukan dengan jiran terdekat Malaysia, Singapura, dengan itu sukar melaksanakan konsep green bubble dengan negara-negara lain.

Hishammuddin menjelaskan, Mesyuarat Menteri Luar ASEAN semalam turut memperhalusi keberangkalian membenarkan pergerakan rakyat antara dua negara dalam rantau ASEAN yang dikategorikan sebagai ‘hijau’ atau lebih dikenali konsep green bubble.

“Pergerakan rakyat antara negara penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berkata, konsep ‘green bubble’ mungkin akan dibangkitkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Sidang Kemuncak ASEAN esok yang akan berlangsung secara maya.

Katanya, Wisma Putra sedang memikirkan kaedah terbaik mengenai pelaksanaan konsep green bubble.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.