Bekas CEO Yayasan Berpangkat Datuk Ditahan Salah Guna Kuasa

101

Bekas CEO yayasan ditahan salah guna kuasa

25 JUN: Seorang bekas CEO sebuah yayasan berpangkat datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahguna kedudukan dan jawatan untuk menganjurkan satu program kayuhan pada 2016.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 60 an bergelar profesor itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi di pejabat SPRM Putrajaya, ketika hadir memberikan keterangan.

“Ketika suspek memegang jawatan CEO yayasan terbabit, dia melantik syarikat miliknya sebagai rakan strategik bagi menganjurkan program kayuhan di utara tanah air itu dengan kos berjumlah melebihi RM150,000.

“Suspek disyaki menyalahguna kedudukan dan jawatan untuk melantik syarikat miliknya bagi penganjuran program kayuhan yang diadakan pada tahun 2016 itu,” kata sumber.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009).

“Suspek kemudian dibenarkan diikat jamin dengan seorang penjamin berjumlah RM10,000,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKPj) Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. – HAIKA GHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.