4 individu ditahan ingkar arahan PKPP

22

25 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai empat individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, dua individu telah direman dan dua lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk satu kes aktiviti dalam pub atau kelab malam, dua kes refleksologi atau urut dan satu kes aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Secara keseluruhan, Pasukan Bertindak Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 65,937 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP dengan melibatkan sebanyak 3,774 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada seramai 16,568 anggota.

Sementara itu, beliau berkata, PDRM berjaya menahan seorang warga asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

Berhubung Ops Sanitasi Awam bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Ismail Sabri memberitahu, sebanyak 8,915 operasi sanitasi merangkumi 134 zon sejak 30 Mac lalu.

“Sebanyak 12,495 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,675 pusat perniagaan, 5,366 bangunan kerajaan, 1,591 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,509 tempat awam dan 354 pasar raya.

“Semalam, sebanyak 41 operasi sanitasi meliputi 30 Zon di 10 buah negeri antaranya Sabah (13 operasi), Kedah (7 operasi) dan Melaka (5 operasi),” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan, dari 10 sehingga 24 Jun lalu, Kementerian Kesihatan telah membuat saringan ke atas 5,451 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, 5,423 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing

“28 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Beliau menambah, pada 24 Jun lalu, seramai 358 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui KLIA dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Hong Kong, China dan Jepun.

“356 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala dua orang lagi dibawa ke hospital,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 113 tapak binaan di seluruh negara yang melibatkan 161 penguat kuasa, semalam.

“Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB telah mendapati 72 tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan dan 11 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran manakala 30 tapak binaan tidak beroperasi,” jelasnya.

Menurut beliau, jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,372 tapak binaan dan 457 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.

“Penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan ditutup kerana tidak mematuhi SOP,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.