Tun M ‘Terjerat’ Diri Sendiri?

200

24 JUN: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sepatutnya bersara dalam arena politik tetapi masih ‘galak’ menjerat mangsa walaupun sudah meniti usia emas.

Menurut Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Parlimen Langkawi itu pada arena politik sebelum ini hanya ‘menjerat’ pada waktu malam dan kini giat mencari ‘mangsa’ walaupun matahari terik tercacak di kepala.

“Antara kelebihan politik Tun Dr. Mahathir sepanjang masa adalah begitu mudah ‘menjerat’ mangsanya manakala antara kelebihan Pas sepanjang masa adalah sentiasa berjaya melepasi jerat Tun.

“Dulu beliau ‘menjerat’ sebelah malam saja. Kini, pada waktu siang panas tang-tang pun beliau mampu ‘menjerat’,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

NIK MUHAMMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ

Nik Abduh berkata demikian berikutan kemelut yang melanda dalam Pakatan Harapan (PH) berhubung calon Perdana Menteri antara Tun Dr. Mahathir dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berasa pelik apabila DAP mampu dijerat Dr. Mahathir dengan mudah.

“Pelik sangatlah kalau Tun Dr. Mahathir tak mampu jerat PAN (Parti Amanah Negara). Itu ‘kacang’…,” sindirnya.

Katanya, Anwar tidak perlu fikir hendak ‘menjerat balas’ Dr. Mahathir kerana ‘penjerat’ akan terjerat oleh jeratnya sendiri.

“Tun M sudah terjerat dengan kehidupan masa mudanya dulu. Tali-tali semakin menjerut dirinya sendiri.

“Itu yang Pas lihat. Nak bantu beliau keluar pun, beliau dah selesa hidup ‘terjerat’ dalam kehidupan ciptaan sendiri itu,” katanya. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.