Tanpa PH, BN menang mudah di Chini

60

24 JUN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berkemungkinan memihak kepada calon Barisan Nasional (BN) berikutan Pakatan Harapan (PH) tidak menghantar calonnya.

Malah, penganalisis Politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata kedua-dua calon Bebas yang bertanding pada PRK DUN Chini juga tidak mempunyai sebarang kekuatan di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, kerjasama BN bersama PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerangka Perikatan Nasional (PN) juga memberi kelebihan yang besar untuk mereka memandangkan Chini merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.

MOHAMMAD AGUS YUSOFF

“Chini merupakan kawasan tradisi UMNO yang kuat pengaruhnya di samping kini mempunyai kekuatan bersama BN, Pas dan Bersatu yang memberi kelebihan besar kepada calon BN.

“Peneroka juga sudah boleh membandingkan keselesaan mereka semasa di bawah pemerintahan BN dan juga Pakatan Harapan. Jadi, pastinya BN menjadi pilihan mereka,” katanya ketika dihubungi PN BCC Portal, hari ini.

Mohammad Agus yang juga merupakan Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu dengan kelebihan ini tanpa PH bertanding di PRK DUN Chini, secara automatiknya kemenangan berkemungkinan besar memihak kepada calon BN.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang tindakan PH tidak meletakkan calon, beliau berkata, keadaan ini berlaku disebabkan parti itu menjangka bahawa kemenangan pasti tidak akan memihak kepada mereka di PRK DUN Chini.

“PH sekarang ni pun dalam keadaan yang tengah mengalami keretakan. Jadi, kalau bertanding pun tidak memberi manfaat kepada PH.

“Mereka (PH) pun sebelum ini telah kalah beberapa kali dalam beberapa siri PRK di mana mood ketika ini tidak bersama PH di samping Chini bukan kawasan kuat mereka,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.