Sekolah boleh tutup semula jika ada kes positif COVID-19

95

24 JUN: Kerajaan tidak teragak-agak untuk mengarahkan penutupan semula sekolah jika ujian saringan mendapati ada pelajar, guru atau kakitangan disahkan positif jangkitan wabak COVID-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tindakan itu perlu bagi membolehkan kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 yang kini memasuki fasa pemulihan di negara ini.

Menurut beliau, langkah penutupan sekolah boleh dilakukan secara serta-merta manakala semua kontak rapat dengan pesakit akan dikesan bagi membolehkan mereka menjalani ujian saringan dan perlu dikuarantin selama 14 hari.

“Sebab itulah kita buka sekolah hari ini (Rabu) kerana tiga hari persekolahan ini penting bagi membolehkan kita menilai semula dan menambah baik SOP diguna pakai sekarang sama ada bersesuaian atau tidak.

“Kalau semuanya berjalan lancar sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tamat pada 31 Ogos ini barulah kerajaan boleh membenar semua pelajar kembali bersekolah seperti sedia kala secara berperingkat,” katanya kepada pemberita ketika meninjau pelaksanaan sesi persekolahan baharu di Sekolah Menengah Presint 11 (1) Putrajaya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Azmi berkata, kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan polis akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan mengejut ke sekolah tertentu bagi memastikan pihak sekolah, pelajar dan ibu bapa sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau memberitahu, antara SOP yang perlu dipatuhi pihak sekolah termasuk tiada perhimpunan membabitkan ramai pelajar, menjaga penjarakan sosial dalam kelas mestilah sekurang-kurang satu meter, setiap kelas tidak boleh melebihi 20 pelajar, pemeriksaan suhu badan setiap hari bagi murid, guru dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah.

Dr Noor Azmi menyatakan, mereka yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala, tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah, manakala aktiviti di luar bilik darjah seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka, tidak dilaksanakan sehingga suatu tarikh yang bakal dimaklumkan kelak.

“Saya gembira memaklumkan bahawa proses pembukaan sesi persekolah membabitkan lebih 500,000 pelajar di lebih 2,000 sekolah di seluruh negara mulai hari berjalan lancar tanpa sebarang masalah atau pelanggaran sebarang SOP.

“Semua SOP berkenaan sudah edarkan kepada sekolah dua minggu lalu bagi membolehkan pihak pengurusan dan guru membuat persiapan rapi menjelang sesi persekolah bermula hari ini,” jelasnya.

Beliau menambah, Kementerian Kesihatan juga sedia berbincang dengan Kementerian Pendidikan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak sekolah bagi menambah baik SOP dan mengatasi pelbagai masalah dihadapi apabila sekolah mula beroperasi.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, pihaknya juga mengalu-alukan sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu supaya tampil menghulurkan sumbangan kepada sekolah terutama di luar bandar untuk membeli peralatan mengimbas suhu badan dan cecair pembasmi kuman.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.