Sasar Sifar COVID-19 Pertengahan Julai

22

24 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan negara ini mampu mencatatkan kadar kes harian COVID-19 sifar pada pertengahan Julai nanti.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sasaran itu mampu direalisasikan sekiranya semua rakyat Malaysia kekal patuh dengan semua prosedur operasi standard (SOP) terutamanya daripada segi menjaga penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, menjaga kebersihan dan memakai pelitup separuh muka.

Dr. Noor Hisham berkata, sasaran berkenaan realistik kerana selepas dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, Malaysia  tidak mencatatkan peningkatan mendadak dan jumlah kes baharu masih terkawal berikutan disiplin dan kepatuhan tinggi ditunjukkan masyarakat.

“Malah, minggu ini kes di Malaysia merekodkan dua atau satu angka, dan mungkin dalam tempoh sebulan lagi, kalau kita patuh SOP dan patuh nasihat KKM, mungkin kita boleh capai sifar kes pada pertengahan Julai ini, itu adalah matlamat kita.

“Tindakan untuk kita berjaya capai sifar kes COVID-19 ketika ini bukan pada KKM, sebaliknya bergantung sama ada rakyat patuh SOP atau tidak,” katanya pada sidang akhbar harian mengenai COVID-19 hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr. Noor Hisham berkata, kementerian ketika ini turut memberi tumpuan kepada warga asing yang berada Malaysia secara sah.

“Kita sudah selesaikan masalah melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI), sekarang ini kita perlu melihat kepada ‘PADI’ iaitu pendatang asing dengan izin.

“Kalau mereka juga patuh SOP serta mengambil langkah pencegahan dan menjaga kebersihan (penularan kes COVID-19 boleh dikawal),” katanya.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, KKM berpandangan bahawa semua sektor di negara ini perlu dibuka sepanjang tempoh PKPP yang berkuat kuasa sehingga 31 Ogos ini.

Tambahnya, keputusan itu tertakluk kepada amalan penjarakan sosial yang disarankan oleh kementerian dalam usaha mencegah penularan COVID-19.

“Jadi, kalau sekarang ini kita lihat semua perlu dibuka sehingga 31 Ogos dan apa yang penting adalah pemantauan dan kesiapsiagaan kita untuk mengamalkan SOP yang dikeluarkan KKM,” katanya. – HAIKA GHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.