Rakyat lega siasatan Muhammad Adib diteruskan

47

24 JUN: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim melegakan rakyat Malaysia yang menanti perkembangan terkini kes  tersebut.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, inkues terhadap Allahyarham Muhammad Adib menjadi perhatian kerana rakyat mengharapkan keputusan yang adil untuk anggota bomba itu.

“Pas yakin PDRM, Peguam Negara dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mengambil tindakan seadilnya terhadap kes ini dengan mencari dan menghukum mereka yang terlibat sama ada pelaku (pembunuh) beserta mereka yang berusaha menutup kes ini jika ada.

“Pas berpuas hati dengan keputusan Koroner Mahkamah Shah Alam, Rafidah Mohamad pada 27 September 2019 yang memutuskan punca kematian adalah akibat perbuatan jenayah oleh individu tidak dikenali,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 21 Jun lalu, Takiyuddin berkata, Jabatan Peguam Negara sedang menunggu hasil siasatan dan perkembangan kes bagi mencari pelaku yang menyebabkan kematian Allahyarham Muhammad Adib.

Katanya, tiada had tempoh tertentu dalam mengendalikan kes jenayah termasuklah kes membabitkan Muhammad Adib.

Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018 selepas menerima rawatan selama 21 hari akibat cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya. –MOHD. FAIRUZ YUSOF


Get real time updates directly on you device, subscribe now.