Pelan transformasi FELCRA tangani impak COVID-19

64

24 JUN: FELCRA Bhd bersedia melaksanakan pelan transformasi untuk menangani impak pandemik COVID-19 dan ketidakstabilan harga komoditi supaya dapat terus kekal memacu ekonomi syarikat serta meningkatkan pendapatan 111,462 pesertanya di luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dalam lawatan kerjanya ke ibu pejabat FELCRA semalam berkata, beliau yakin peningkatan perkhidmatan yang cekap dan dinamik sesuai dengan identiti unik FELCRA BHD sebagai penjana perusahaan sosial, mampu memperjuang tanggungjawab sosial membabitkan lebih setengah juta ahli keluarga peserta FELCRA.

“Tidak dapat dinafikan penambahbaikkan yang diambil oleh pengurusan FELCRA dalam menjamin kelestarian syarikat serta warga pesertanya tetapi masih ada ruang yang boleh diperkasakan lagi untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pemegang taruh.

“FELCRA perlu memikirkan kaedah mengatasi cabaran norma baru untuk merangsang ekonomi syarikat justeru membantu memberi pulangan yang lebih baik kepada warga peserta,” katanya.

Beliau turut menggariskan tiga komitmen utama FELCRA iaitu:

  1. Melaksanakan urus tadbir korporat dengan cekap dan berkesan bagi memastikan kelestarian FELCRA sebagai entiti penjana perusahaan sosial terjamin demi manfaat peserta.
  2. FELCRA perlu menyusun dengan jelas bidang perniagaan yang kompeten serta bersedia melaksanakan transformasi menerusi evolusi projek yang dalam perangkaan.
  3. FELCRA perlu kekal memperjuangkan tanggungjawab sosial korporat kepada lebih setengah juta ahli keluarga peserta di seluruh negara.

Abd Latiff menambah, FELCRA juga akan menggunakan tiga strategi utama untuk memperkasakan keyakinan, kesejahteraan dan ekonomi pesertanya.

Menurut beliau, beberapa langkah proaktif telah diambil pengurusan syarikat seperti mengukuhkan urus tadbir kewangan dan pengurusan tunai projek ladang
milik peserta (penyatuan dan pemulihan).

Menteri KPLB berkata, FELCRA perlu mengorak langkah pantas mengolah model perniagaan yang berdaya saing dan mempunyai permintaan tinggi dan berpotensi untuk menjana hasil pendapatan serta pulangan tinggi kepada peserta.

“Pelanggan kita adalah ratusan ribu peserta dari luar bandar di seluruh negara, FELCRA sebagai penggerak dan pelaksana bertanggungjawab bagi memastikan kesejahteraan mereka,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.