Pegawai Kanan JIM Ditahan Terlibat Sindiket Seludup Warga Asing

123

24 JUN: Dengan hanya mengenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,500 pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat memasuki negara dengan hanya menggunakan cop palsu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Jenayah itu terbongkar selepas seorang pegawai kanan dan dua pegawai JIM ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 48 tahun itu ditahan di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor semalam.

Beliau berkata, sindiket berkenaan disyaki menyediakan perkhidmatan cap keluar masuk JIM palsu untuk kegunaan warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Berdasarkan siasatan, kadar bayaran sebanyak RM1,500 sehingga RM2,500 dipercayai dikenakan bagi setiap warga asing.

“Setibanya di Terminal Feri Pasir Gudang, pergerakan warga asing yang menggunakan cap disyaki palsu itu akan diuruskan pegawai imigresen yang bersekongkol dengan sindiket bagi menguruskan pergerakan pulang ke negara asal (Indonesia),” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Ayob Khan menambah, kegiatan sindiket penyeludupan keluar warganegara Indonesia melalui Terminal Feri Pasir Gudang ke Batam Center, Indonesia, telah bergiat aktif bermula awal Mei lepas semasa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP).

Beliau berkata, mereka kini disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dengan mengguna pakai prosedur siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Selain mereka, Jelas beliau, seorang anggota polis marin berumur 41 tahun yang bertugas di Markas Operasi Pasukan Marin, Putrajaya turut ditahan pada 19 Jun lepas kerana disyaki terlibat dengan kegiatan sindiket penyeludupan warga asing sejak 2017.

“Suspek terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 130V hingga 130ZB Bab 6B Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dengan menggunakan pakai prosedur siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012,” katanya.

Dengan penahanan kesemua suspek baharu berkenaan, beliau berkata, pihaknya kini secara keseluruhan telah menahan 14 pegawai dan anggota polis, lima (Angkatan Tentera Malaysia) serta tiga (JIM) yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan warga asing khususnya di pantai timur Johor.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.