Patuhi SOP sepanjang kempen PRK DUN Chini

34

24 JUN: Semua penyokong dan pemimpin parti politik diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, biarpun kadar penularan COVID-19 dalam kalangan rakyat tempatan semakin berkurangan, semua pihak perlu mematuhi SOP bagi mengelakkan timbulnya kluster baharu.

“PRK DUN Chini adalah satu sejarah kerana buat julung-julung kalinya pilihan raya diadakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) atau tempoh COVID-19.

“Walau bagaimanapun, kita kena patuhi SOP ketat yang dibuat pihak berkenaan. Sebagai contohnya pada peringkat awal kita tidak membenarkan kempen dilakukan, namun kini sudah boleh berkempen tetapi dengan SOP yang ketat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat lawatan hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11 (1) di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi juga mengesahkan beliau sendiri akan turun berkempen untuk membantu calon Barisan Nasional (BN), Mohd Shahrim Md Zain untuk memenangi kerusi DUN Chini.

“Ya, sudah tentu saya mempunyai perancangan untuk turun ke Chini untuk berkempen dan membantu calon BN, sebelum hari mengundi tiba nanti,” jelasnya.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu.

PRK DUN Chini pada 4 Julai nanti bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Shahrim dan dua calon Bebas iaitu bekas Timbalan Ketua Bahagian Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pekan, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.