Muhyiddin tinjau hari pertama sekolah dibuka semula

48

24 JUN: Kesibukan tugas harian bukan penghalang bagi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa meninjau sendiri hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datok Lokman, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, hari ini.

Berdasarkan pemerhatiannya sendiri, beliau berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti penjarakan sosial dan kelas tidak boleh melebihi 20 orang.

“Setelah tiga bulan tidak bersekolah, pastinya perasaan bercampur-baur dirasai pelajar apabila dapat kembali semula ke sekolah dan perkara itu diluahkan kepada saya semasa berbual dengan sebahagian daripada mereka tadi.

“Ada antara mereka mengakui berasa gementar atau bimbang dengan keselamatan diri berikutan ancaman pandemik COVID-19 masih belum berakhir.

“Mereka bagaimanapun tetap teruja dapat kembali bersua muka dengan guru dan rakan-rakan setelah sekian lama sesi pembelajaran hanya berlangsung secara dalam talian,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Beliau diiringi Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin.

Ketibaan Muhyiddin disambut oleh Pengetua SMK Datok Lokman, Latifah Mohd Yusof, sebelum beliau dibawa melewati laluan khas bertanda memasuki kawasan sekolah, seterusnya ke dewan utama bagi sesi taklimat.

Pada sesi taklimat berkenaan, Perdana Menteri dimaklumkan bahawa seramai 255 calon yang bakal menduduki peperiksaaan SPM di SMK Datok Lokman pada tahun ini.

Pada 10 Jun lalu, kerajaan membuat keputusan membuka semula sekolah secara berperingkat bermula hari ini, dengan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ( STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Dalam lawatan itu Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada guru sekolah berkenaan, pejabat pendidikan negeri dan daerah serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) yang telah melakukan persediaan rapi bagi memastikan garis panduan serta penyediaan SOP dapat dipenuhi sebelum sesi persekolahan bermula.

Beliau berkata langkah berkenaan akan memberi lebih keyakinan kepada ibu bapa bahawa keselamatan anak-anak sentiasa diberi keutamaan sepanjang mereka berada di sekolah.

Muhyiddin juga dapat menyaksikan kesungguhan pengurusan sekolah berkenaan memenuhi SOP ditetapkan bermula daripada ketibaan pelajar sehingga mereka pulang.

“Saya saksikan sendiri saringan suhu dibuat di pintu masuk sekolah, sebelum ditulis di atas pelekat yang kemudiannya dilekatkan di lengan baju pelajar.

“Stesen cuci tangan pula diletakkan di luar bilik darjah bagi memastikan pelajar kerap mencuci tangan,” jelasnya.

Beliau turut dimaklumkan bahawa waktu rehat juga dipecahkan kepada tiga fasa dengan tempahan makanan dibuat melalui guru kelas.

“Makanan yang ditempah dari kantin atau dibawa sendiri hanya dibenarkan dimakan di dalam kelas.

“Insya-Allah, dengan persediaan rapi dan pelaksanaan serta pematuhan SOP yang betul oleh semua pihak, saya yakin risiko jangkitan wabak dalam kalangan pelajar dapat dielakkan,” katanya.

Muhyiddin juga sempat berpesan supaya semua pelajar sentiasa berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri, kerap mencuci tangan, jaga jarak sosial serta elakkan berada di tempat yang sesak dan sempit.

“Saya doakan anak-anak kita yang kembali bersekolah dilindungi Allah dan dipermudahkan urusan dalam mengharungi kebiasaan baharu persekolahan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.