Malaysia bertuah berbanding negara lain depani COVID-19

140

24 JUN: Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dan berbangga kerana menerima pelbagai insentif yang disediakan kerajaan dalam mendepani penularan COVID-19 berbanding negara-negara lain di dunia.

Pandangan itu dinyatakan Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran dengan melihat banyak insentif diberikan kepada semua golongan yang terkesan dengan pandemik virus itu.

Rakyat katanya, tidak pernah disisihkan malah mengambil berat dan menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan kehidupan mereka kembali pulih.

MOHAMMAD SHATAR SABRAN

“Hanya di Malaysia atau Only In Malaysia sahaja perkara sedemikian boleh berlaku. Rakyat negara ini memang diutamakan oleh pihak kerajaan demi untuk memastikan keselamatan dan kesihatan mereka terjamin.

“Senario sama tidak dapat dirasai masyarakat di negara lain termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan Kanada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, rakyat Malaysia patut berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengambil berat terhadap kebajikan dan keselamatan mereka dalam krisis kesihatan yang melanda seluruh dunia.

Katanya yang juga pakar sosial, sebagai tanda terima kasih dan bersyukur, masyarakat perlu bersatu menyokong kepemimpinan yang menerajui negara ketika ini.

Jelasnya, sokongan padu itu akan membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif demi kemajuan negara pada masa depan.

“Selain itu, tanda terima kasih masyarakat kepada kerajaan juga boleh dizahirkan melalui pematuhan peraturan dan perancangan diperkenalkan demi emakmuran dan kejayaan negara di masa hadapan.

“Sokongan dan kerjasama erat seperti itu pastinya mampu mewujudkan kerajaan yang stabil dan terus memimpin untuk kecemerlangan berterusan,” ujarnya.

Kerajaan katanya, tidak melupakan segala kesulitan yang dihadapi rakyat.

“Pelbagai bantuan dan insentif diperkenalkan kerajaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi, PRIHATIN dan PENJANA.

“Kesemua itu merupakan sebahagian inisiatif kerajaan bagi meringankan beban rakyat semasa berhadapan COVID-19,” katanya.

Lebih menarik katanya, pelbagai bentuk diskaun dan pemotongan bayaran dilaksanakan dengan tujuan mengurangkan beban rakyat semasa negara berhadapan dengan serangan virus itu. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.