Kerajaan kemuka cadangan benarkan surau anjur solat Jumaat

52

24 JUN: Kerajaan sudah mengemukakan cadangan untuk membenarkan surau melaksanakan solat Jumaat pada mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tindakan itu perlu bagi membolehkan lebih ramai umat Islam menunaikan solat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kerajaan amat prihatin akan kegusaran umat Islam yang ingin kembali menunaikan solat Jumaat dalam tempoh ini.

“Semoga usul ini dapat dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Twitter rasminya, hari ini.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, mesyuarat hari ini dihadiri semua mufti dan ahli yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Sebelum ini, beliau diminta mengulas sama ada Malaysia akan mencontohi Singapura yang membenarkan solat Jumaat dua sesi bagi memberi peluang lebih ramai jemaah menunaikannya.

Singapura memutuskan untuk membenarkan solat Jumaat dilakukan dua sesi mulai 26 Jun ini.

Dalam ciapan berasingan, Zulkifli berkata, keputusan kerajaan Arab Saudi mengehadkan ibadah haji tahun ini untuk rakyatnya dan rakyat asing di negara itu, disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Sheikh Abdullatif Abdulaziz Al-Sheikh.

“Sheikh Abdullatif turut menyampaikan penghargaan atas kerjasama erat Malaysia dan Arab Saudi, terutama urusan membabitkan hal ehwal agama dan ibadah haji.

“Saya turut menyampaikan sanjungan penghormatan kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud atas kecaknaan kepada masalah umat di seluruh dunia bagi pelaksanaan ibadah haji tahun ini,” jelasnya.

Beliau turut mendoakan semoga wabak COVID-19 segera terhapus dari kedua-dua buah negara dan seluruh dunia.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.