Ibadah korban dibenarkan di Wilayah Persekutuan

78

24 JUN: Kerajaan membenarkan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada hujung Julai ini dilakukan di Wilayah Persekutuan dengan prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ibadah korban hanya boleh diadakan di masjid, surau dan kawasan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan dan perlu mengikut panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut beliau, kebenaran itu hanya bagi Wilayah Persekutuan manakala negeri lain tertakluk kepada kebenaran pihak jabatan agama negeri masing-masing.

“Selain daripada masjid, surau serta kawasan yang mendapat kelulusan pihak berkuasa agama negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), 28 rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta 31 rumah penyembelihan swasta yang dilesenkan oleh jabatan itu turut dibenarkan.

“Penganjur perlu melaporkan aktiviti ibadah korban kepada pejabat kesihatan daerah (PKD) yang terdekat,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, pihak penganjur perlu memastikan bilangan haiwan korban adalah bersesuaian dengan keupayaan petugas.

“Kapasiti kehadiran petugas dihadkan kepada maksimum 30 orang pada satu-satu masa bagi menguruskan seekor lembu,” katanya.

Ismail Sabri menambah proses melapah, memotong dan pembahagian daging hendaklah dibuat di tempat yang lapang selain mengelakkan 3S iaitu kawasan yang sesak, sempit dan berkomunikasi secara dekat.

Sementara itu, bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19, menurut beliau, antara SOP yang perlu dipatuhi adalah kaunter pintu masuk perlu disediakan bagi memeriksa suhu badan serta sanitasi tangan.

Beliau menambah, proses sembelihan juga digalakkan untuk menggunakan peralatan dan sistem moden dalam sembelihan seperti sangkar sembelihan.

“Kehadiran jemaah petugas perlu direkodkan dan mereka yang tidak sihat bukan dalam kalangan penghidap penyakit kronik tidak dibenarkan menyertai aktiviti itu.

“Kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk. Petugas perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial 1 meter,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengenai pematuhan rakyat yang dikuarantin di rumah selepas pulang dari luar negara, Ismail Sabri berkata, sehingga hari ini tiada laporan mengenai kegagalan mereka mematuhi perkara itu.

“Insya-Allah saya percaya dan berharap rakyat kita yang sedang buat kuarantin di rumah secara wajib jangan anggap ia satu paksaan sebaliknya satu cara kita untuk menjaga kesihatan mereka.

“Kita nak mereka terus kekal sihat sehingga hari ke-13 sebelum saringan semula dan menentukan mereka benar-benar sihat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.