‘Cukup-Cukuplah Maszlee, Muhasabah Diri’

430

24 JUN: Mana mungkin Menteri Pendidikan membuat keputusan sendiri yang meminda kalendar akademik 2020 dengan memendekkan cuti akhir tahun berbaki dua minggu.

Persoalan itu dilontarkan Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniZSA), Prof. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah terhadap bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang menerima rungutan daripada guru mengenai kalendar akademik tahun ini.

Mohd. Ridhuan berkata, tidakkah Ketua Pengarah Pendidikan dan guru-guru yang bertugas di Kementerian Pendidikan itu sudah mewakili guru.

“Mana mungkin Menteri Pendidikan buat keputusan sendiri. Sudah tentu sebelum keputusan dibuat semua faktor sudah diambil kira.

“Lagipun ia bukan berlaku sepanjang tahun dan inilah untuk berkorban demi anak bangsa,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Beliau juga hairan adakah benar Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dihujani luahan guru melalui mesej peribadi dan media sosial yang tidak berpuas hati dengan keputusan Putrajaya memendekkan cuti sekolah.

“Hebat sungguh bekas menteri kasut hitam ini. Dihujani luahan guru-guru.

“Persoalannya, kenapa guru tidak berkata benar tentang wakil guru mereka iaitu semua guru berjawatan tinggi di Putrajaya yang menjadi pentadbir. Mereka ini bukan wakil guru ke? Pelik sungguh beliau,” soalannya.

Mohd. Ridhuan juga turut berasa hairan dengan dakwaan Maszlee iaitu guru mengajar dari rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melaksanakan kelas menerusi dalam talian setiap hari.

“Sejak bila guru mengajar setiap hari dalam talian? Bekas menteri ini tahu atau tidak kekangan capaian internet yang dihadapi.

“Ada pelajar yang terpaksa panjat pokok untuk dapat capaian internet. Anak saya dan anak saudara saya ramai masih bersekolah, tak pernah dengar pula guru mengajar setiap hari dalam talian,” ujarnya.

Beliau juga terkejut dengan persoalan dilontarkan Maszlee menyatakan kerajaan melupakan jasa guru yang juga merupakan barisan hadapan di bahagian pendidikan.

“Ini bukan soal frontliner (barisan hadapan). Semua yang bertugas di mana-mana kementerian adalah barisan hadapan.

“Isunya, soal masa depan pelajar yang sudah ketinggalan mata pelajaran secara synchronous dan asnychronous. Bukan semua pelajar mampu belajar secara dalam talian. Juster, semua perlu berkorban,” jelasnya.

Beliau menasihat Maszlee supaya tidak berlakon dalam memperjuangkan isu guru kerana ramai sudah muak dengan lakonan itu.

“Menteri, Ketua Pengarah Pendidikan dan mereka yang duduk di Putrajaya semuanya guru. Takkan mereka tidak maklum tugas dan beban guru. Cukup-cukuplah bekas menteri. Buatlah muhasabah diri,” katanya. –MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.