Tun M Tolak Jadi Menteri Mentor Bawah Anwar

128

23 JUN: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan beliau dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Menerusi temu ramah yang dilakukan Sin Chew Daily, Dr. Mahathir memberitahu selepas ini beliau tidak akan lagi menghubungi PKR ataupun Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang mengenai soal kerjasama antara kedua-dua parti.

Menurut beliau, dirinya tidak akan mengadakan kerjasama bersama Anwar kerana mendakwa Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak mahu lagi bekerjasama dengannya.

“Saya perlu cari jalan lain untuk menjadi Perdana Menteri. Mungkin ada pilihan lain. DAP dan Amanah masih menyokong saya untuk menjadi Perdana Menteri.

“Sebaliknya, saya akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir memberitahu, PH yang sebelum ini Pakatan Rakyat sudah lama menjadi parti pembangkang kerana gagal mengalahkan Barisan Nasional (BN).

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, 2013, mereka tidak dapat mengalahkan BN. Pada PRU-14, saya bersama dengan mereka. PH pada masa itu mempunyai sokongan yang kuat daripada pengundi Melayu. Akhirnya PH menang. Sebelum ini, mereka gagal.

“Oleh itu, PH cukup jelas bahawa mereka perlukan undi Melayu. Mereka merasakan saya boleh memberikan undi Melayu kepada mereka kerana parti Bersatu adalah parti Melayu. Parti-parti lain adalah parti berbilang kaum, pengundi Melayu tidak akan menyokong parti berbilang kaum,” katanya.

Mengenai pelawaan Anwar untuk melantik beliau sebagai Menteri Mentor, Mahathir dengan tegas menolaknya.

“Tidak, saya tidak akan menerima jawatan itu,” katanya. – AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.