Tubuh RCI segera siasat punca kerugian TH – PPIM

42

23 JUN: Suruhanjaya siasatan diraja (RCI) perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat punca sebenar kerugian yang dialami Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga menyebabkan banyak asetnya terpaksa dijual dan dilelong.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, beliau menyokong penuh cadangan Pergerakan Pemuda UMNO supaya kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat punca kerugian dialami TH.

Menurut beliau, tindakan itu perlu bagi membolehkan orang ramai terutamanya umat Islam dan pendeposit mendapatkan gambaran sebenar mengenai punca kerugian dialami oleh TH sekarang.

“PPIM memang setuju sangat jika kerajaan mahu menubuhkan RCI bagi menyiasat punca utama kerugian dialami kerana sesiapa yang mengkhianati kepercayaan dan amanah diberikan umat Islam di Malaysia dengan menyeleweng dana TH wajar dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

“Tidak kiralah individu berkenaan dilantik di zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) jika mereka didapati melakukan penyelewengan atau pecah amanah sehingga menyebabkan TH mengalami kerugian maka pihak berkuasa wajar mendakwa mereka di mahkamah.

“Kita tidak boleh melepaskan mereka begitu sahaja kerana ia akan menyebabkan masalah lebih besar dan negara menjadi semakin huru-hara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) segera menubuhkan RCI mengenai Tabung Haji (TH).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun RCI mengenai TH bukanlah sebahagian daripada janji kerajaan PN, rakyat berhak mendapat penjelasan yang tuntas dan telus mengenai pelbagai tuduhan penyelewengan yang digembar-gemburkan oleh kerajaan PH terdahulu.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata kerajaan perlu segera menubuhkan RCI secepat mungkin kerana isu TH berkenaan membabitkan kepentingan umum dan imej Islam itu sendiri.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terbabit dengan kes penipuan dan penyelewengan dana TH berkenaan supaya kes seumpama itu tidak berulang sekali lagi, pada masa depan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.