Tidak wajar Tun M diangkat Perdana Menteri kali ke-3

158

23 JUN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tidak wajar Tun Dr. Mahathir Mohamad diangkat semula untuk menjadi sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga.

Namun, menerusi temu bual Anwar bersama stesen Channel News Asia (CNA) Malaysia memberitahu, pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan mengenai kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad jika bekas Perdana Menteri itu bersedia dijadikan menteri kanan atau kedudukan yang seumpama dengannya.

“Mereka bercakap mengenai menteri kanan (atau) menteri mentor macam Lee Kuan Yew. Saya terbuka untuk perbincangan,” katanya menjawab soalan Ketua Biro Channel News Asia (CNA) Malaysia, Melissa Goh.

Dalam pada itu, Anwar yang juga merupakan Presiden PKR berkata, PH akan menghabiskan masa selama enam bulan sebagai kerajaan tanpa dapat memberikan perhatian kepada usaha reformasi jika Mahathir dipilih sebagai calon Perdana Menteri pembangkang semata-mata hanya untuk menarik sokongan mencukupi bagi membolehkan PH kembali menjadi kerajaan.

Sebaliknya, menurut beliau, PH dalam masa yang sama akan berhujah mengenai pelbagai isu seperti tarikh peralihan kuasa dan kemungkinan rombakan Kabinet.


“Pada pandangan saya beliau (Dr Mahathir) sudah menjadi Perdana Menteri dua kali. Sudah masanya untuk kita melangkah ke depan.

“Saya tegaskan bahawa ia bukan isu personaliti. Ia adalah mengenai peluang untuk permulaan baru untuk negara ini. Malaysia berhak mendapat yang lebih baik. (Ada) begitu banyak kekecewaan politik sekarang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.