Satu Jam Hannah Yeoh Beri Keterangan di Bukit Aman

66

23 JUN: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh hadir memberi keterangan selama satu jam di Bukit Aman berhubung satu hantaran dalam akaun Facebook dan Twitter miliknya berhubung Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur, tiga bulan lalu.

Beliau hadir bersama peguamnya, Gobind Singh Deo dan Syahredzan Johan sambil berterima kasih kepada pasukan penyiasat atas sikap profesional serta integriti ditunjukkan pegawai polis terbabit.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat itu disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan berkenaan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berkenaan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Pemimpin DAP itu berkata, beliau memaklumkan kepada polis hantaran dalam akaun media sosialnya merupakan ‘kenyataan palsu yang tidak pernah cakap’ dan ‘dibuat pihak tidak bertanggungjawab’.

“Ini juga sudah dijelaskan melalui media sosial saya pada 11 Mac lalu.

“Jika mereka perlu bantuan lagi, mereka akan hubungi kita. Kita harap polis dapat lakukan siasatan dengan secepat mungkin,” katanya seperti dipetik sebuah portal berita kepada pemberita hari ini.

Berkenaan catatan dalam akaun Twitter miliknya yang dibuat pada 9 Mac lalu, beliau dilaporkan mempersoalkan apa yang akan berlaku kepada Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur selepas pelantikan penggantinya, Siti Zailah Yusof daripada Pas.

Dalam pada itu, memetik agensi berita BERNAMA, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Superintendan Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan Hannah hadir untuk memberi keterangan.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, dan Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 11 Jun, polis membuka satu kertas siasatan berhubung kenyataan yang dibuat pemilik akaun ‘Hannah Yeoh’ dalam akaun Facebook yang dilihat mempunyai kecenderungan menghasut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.