Prasekolah, tabika, tadika tetap buka 1 Julai

50

23 JUN: Kementerian Pendidikan tetap akan meneruskan pembukaan prasekolah, tabika dan tadika seperti dijadualkan bermula 1 Julai ini.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, tindakan itu tidak dapat ditangguhkan lagi kerana kerana ramai ibu bapa yang sudah mula bekerja sekarang dan mereka perlu menghantar anak ke prasekolah.

“Kita kena tahu bahawa ibu bapa yang bekerja memang memerlukan anaknya dihantar ke prasekolah, jadi (prasekolah) perlu diteruskan.

“Sekiranya terdapat prasekolah yang mempunyai permasalahan, kita akan cuba selesaikannya nanti,” katanya hari ini.

Pada 15 Jun lalu, kerajaan membenarkan prasekolah, tadika dan tabika dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai ini dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pembukaan keseluruhan prasekolah dan tadika itu membabitkan 6,216 prasekolah di bawah kendalian Kementerian Pendidikan serta 7,887 di bawah pengurusan swasta.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang menggesa Kementerian Pendidikan menangguhkan pembukaan sesi pembelajaran di prasekolah kerana pelbagai masalah termasuk dari segi infrastruktur dan pengurusan.

Sementara itu, Hang Soon berkata, ketika ini pihaknya sedang memberi tumpuan kepada kerja-kerja lawatan pembukaan sekolah.

“Persiapan sudah kita buat, kita kena ambil maklum bahawa apabila ada keperluan kita akan tetap teruskan,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.