Pasaran bon Malaysia kembali tarik minat pelabur asing

15

23 JUN: Minat asing kembali dalam pasaran bon Malaysia bulan lalu selepas aliran keluar bersih selama tiga bulan berturut-turut dengan nilai RM22.4 bilion.

Memetik laporan Pasaran Bon Bulanan RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings), perkembangan itu disokong oleh sentimen global yang lebih optimistik.

“Walau bagaimanapun, ia terhenti pada awal Jun berikutan bimbang mengenai penularan COVID-19 yang meningkat di Amerika Syarikat (AS) dan impaknya kepada ekonomi global,” katanya.

Menurut RAM Ratings, pakej rangsangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM35 bilion yang dilancarkan oleh kerajaan meningkatkan lagi kebimbangan pelabur mengenai defisit fiskal dan tahap hutang yang lebih tinggi.

Jelasnya, pakej rangsangan dijangka meningkatkan defisit fiskal Malaysia kepada 5.8 peratus – 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding unjuran RAM Ratings sebelum ini sebanyak 4.8 peratus.

“Kebimbangan ini mendorong hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun sebanyak 25.5 mata asas (bps) kepada 3.12 peratus pada 9 Jun, sebelum susut di bawah tiga peratus.

“Sejak itu, hasil penanda aras ini terus melebihi paras yang dilihat sepanjang Mei (hasil purata: 2.89 peratus), berikutan penghindaran risiko oleh pelabur asing yang berterusan,” katanya.

RAM Ratings berkata trend ini menunjukkan belian asing MGS dijangka terus suram sepanjang bulan depan.

Agensi penarafan itu memberitahu, berdasarkan hasrat kerajaan untuk membiayai defisit ini di peringkat domestik, agensi penarafan kredit telah menyemak semula MGS/Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) kepada RM155 bilion-RM165 bilion untuk 2020, daripada RM135 bilion-RM145 bilion sebelum ini.

Dalam tempoh jangka panjang, katanya kadar faedah global yang rendah sepanjang masa dalam persekitaran langkah meningkatkan mudah tunai oleh bank pusat akan terus mempengaruhi hasil bon domestik.

RAM Ratings menjelaskan, Rizab Persekutuan AS, dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 10 Jun, mencadangkan kadar faedah jangka pendek penanda aras akan kekal hampir sifar hingga 2022.

Katanya, jangkaan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang seterusnya oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada separuh kedua tahun ini juga akan mengekalkan hasil bon domestik.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.