Lebih baik Anwar ‘angkat kaki’ tinggalkan PH

338

23 JUN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil langkah berani meninggalkan Pakatan Harapan (PH) kerana secara jelas beliau tidak lagi disokong DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Warisan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, lebih baik Ahli Parlimen Port Dickson itu menjalankan agenda reformasinya dengan menjadi penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menguatkan kerajaan yang ada sekarang.

“Menyokong Perdana Menteri tidak semestinya berada dalam kerajaan. Boleh kekal sebagai pembangkang tetapi memberi sokongan moral kepada kerajaan,” katanya seperti dilaporkan Harakah Daily.

Hari ini Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak untuk meninggalkan PH selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan beliau dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Menerusi temu ramah yang dilakukan Sin Chew Daily, Dr. Mahathir memberitahu selepas ini beliau tidak akan lagi menghubungi PKR ataupun Anwar untuk berbincang mengenai soal kerjasama antara kedua-dua parti.

Dalam pada itu Amar berkata, PH dianggap sudah tidak ada masa depan berikutan pergolakan dalaman yang gagal diselesaikan sehingga sekarang.

Menurut beliau, gabungan parti pembangkang itu sudah tidak ada lagi tarikan kepada rakyat.

Tambah beliau, sebelum ini mereka membuat pelbagai tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terutamanya megnenai isu 1MDB.

“Apabila mereka diberi peluang memerintah negara selama 22 bulan jelas kepada pengundi mereka gagal dalam melaksanakan janji ketika kempen Pilihan Raya Umum lepas.

“Dalam banyak perkara perangai mereka tidak sama berbanding ketika BN (Barisan Nasional) mentadbir negara sebelum ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.