KPM Keluarkan Takwim Penggal Persekolahan Baharu

95

23 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melakukan pindaan Takwim Penggal Persekolahan tahun ini untuk membantu pihak sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran murid berjalan lancar.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pindaan itu melibatkan Cuti Pertengahan Penggal Dua yang telah dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari bagi sekolah-sekolah Kumpulan A.

Sekolah Kumpulan A terdiri dari Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Menurut kenyataan itu, sebelum ini kementerian tersebut telah memaklumkan mengenai sekolah akan dibuka esok melibatkan pelajar tingkatan 5 dan 6.

“Pembukaan sekolah itu bagi membolehkan pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, cuti akhir tahun bagi sekolah-sekolah Kumpulan A telah dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari manakala sekolah dalam kumpulan B juga dikurangkan kepada 13 hari.

Kata kenyataan tersebut, jumlah hari persekolahan secara bersemuka berdasarkan pindaan Takwim Penggal Persekolahan tahun ini adalah sebanyak 168 hari bagi semua sekolah.

“Manakala bilangan hari pembelajaran di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan adalah sebanyak 56 hari bagi sekolah dalam negeri Kumpulan A dan bilangan hari pembelajaran di rumah.

“Bagi sekolah dalam negeri Kumpulan B adalah sebanyak 55 hari. Bilangan hari pembelajaran di rumah hanya terpakai kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 sahaja sementara bagi murid lain bergantung kepada mereka akan kembali ke sekolah kelah,” katanya.

Sehubungan itu para ibu bapa atau penjaga boleh memperoleh pindaan Takwim Penggal Persekolahan 2020 dalam laman sesawang Kementerian Pendidikan. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.