Kerajaan Kesan Majikan Tidak Salurkan Subsidi Upah Pekerja

47

23 JUN: Tindakan segelintir majikan yang tidak menyalurkan subsidi upah kepada pekerja mereka amat dikesali, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan ada menerima maklumat mengenai perkara itu dan tidak seharusnya disalah guna malah majikan perlu lebih bertanggungjawab.

“Bantuan rangsangan ekonomi seharusnya tidak diambil kesempatan oleh majikan dengan menganiaya pekerja mereka.

“Saya ingin mengingatkan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap majikan-majikan ini,” katanya ketika membentangkan Laporan Ke-10 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menerusi laman akaun Facebook miliknya hari ini.

Program Subsidi Upah merupakan bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Beliau menambah, setakat 19 Jun lalu, sebanyak RM4.89 bilion telah diluluskan bagi 303,596 majikan yang memberi manfaat kepada lebih 2.40 juta pekerja di bawah program tersebut.

“Saya mengingatkan sekali lagi bahawa dengan penyelarasan Program Subsidi Upah di bawah PENJANA, majikan boleh mula membuat permohonan untuk program Subsidi Upah yang telah ditambah baik mulai 15 Jun lalu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.