Kempen BN di Chini mantap dengan sokongan PAS

51

23 JUN: Kempen Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bertambah mantap dengan sokongan padu daripada PAS.

Memetik laporan UMNO Online, komitmen parti yang bekerjasama dengan dengan BN dalam kerangka Perikatan Nasional (PN) itu dinyatakan oleh Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) PAS Chini, Sarjuni Konting.

Beliau amat bersyukur atas terbinanya perpaduan antara PAS dan UMNO yang merupakan impiannya sejak dahulu lagi yang kini bersama-sama mendukung Muafakat Nasional.

“Alhamdulillah, harapan saya dari dulu sebegitu. Daripada dahulu saya harapkan lebih baik kita bergabung dari berasingan sebab yang pertama saya mahu bangsa Melayu bersatu padu, tidak bercerai…bila bersatu hendak buat apa sahaja kita boleh laksanakan.

“Dulu kalau boleh bersatu alhamdulillah, tapi sekarang ini sudah bersatu, alhamdulillah,” katanya.

Sarjuni berkata demikian kepada media seusai solat Isyak berjemaah di rumahnya di Felda Chini 5 malam tadi bersama calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain dan kepimpinan PAS kawasan.

Beliau juga berharap Mohd Sharim dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya setelah memenangi PRK tersebut kelak.

“Pertama sekali tentang Islam kena jaga, kedua tentang kebajikan masyarakat perlu diutamakan.

“Ketiga, tentang ekonomi anak-anak peneroka ini yang ramai tidak ada pekerjaan dan keempat berkaitan tanah rancangan ini kalau hendak dibuka macam Terapai itu boleh dibuka.

“Dulu saya dah bincang dengan Yang Berhormat (Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun) hendaklah dibuka (tanah rancangan) untuk generasi yang kedua,” jelasnya.

Sarjuni turut menasihatkan Mohd Sharim supaya menjaga hubungan yang baik dengan masyarakat dan mengambil perhatian terhadap kebajikan pendidikan anak-anak bangsa.

Dalam pada itu, Mohd Sharim menyambut baik serta mengambil berat pandangan dan buah fikiran Ketua PAS Kawasan Chini tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.