Jangan Selesa Walaupun ‘Kubu Kuat’

44

23 JUN: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang memasuki hari keempat hari ini menyaksikan jentera Pemuda UMNO Bahagian Pekan berada dalam tahap terbaik membantu calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Sharim Md. Zain memenangi kerusi tersebut.

Perkembangan itu disampaikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd. Nizar yang tidak mengambil mudah PRK kali ini walaupun tidak ditandingi Pakatan Harapan (PH).

Walaupun DUN Chini dikategorikan sebagai ‘kubu kuat’ BN, jentera UMNO diingatkan supaya tidak selesa dalam menjalankan aktiviti berkempen di kawasan tersebut.

“Saya yakin dan percaya beliau (Mohd.Sharim) ada kemampuan, keikhlasan, semangat untuk berbakti kepada masyarakat di DUN Chini kerana beliau telah membesar di sini dan kenal semua pemimpin di pelbagai peringkat dan belia.

“saya percaya beliau dapat menyantuni ke semua lapisan masyarakat di DUN Chini ini, Insya-Allah,” katanya seperti dilaporkan UMNO Online.

Sebaik sahaja selesai proses penamaan calon Sabtu lalu, Mohd. Sharim tidak membuang masa dengan giat berkempen menyantuni masyarakat dengan pelbagai pendekatan meliputi kira-kira 40 peratus pengundi sehingga hari ini.

Mengenai penerimaan rakyat Chini terhadap Mohd. Sharim, Mohd. Nizar memberitahu, beliau melihat calon BN itu diterima positif dalam kalangan masyarakat di kawasan itu.

“Saya lihat penerimaan masyarakat sangat positif. Calon pun telah mengambil langkah-langkah proaktif menziarah mereka yang sakit kronik, mengunjungi pemimpin-pemimpin blok Felda, Ketua Cawangan dan pemimpin yang berpengaruh.

“Kita ada tempoh berkempen sehingga lewat malam 3 Julai, saya percaya calon kita akan menggunakan masa yang diperuntukkan ini sebaik mungkin untuk mendedahkan diri kepada masyarakat,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.