DAP Akui Kitar Semula Tun M Demi Kembali Berkuasa

71

23 JUN: Pakatan Harapan (PH) hari ini mengakui terpaksa ‘mengitar semula’ Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri bagi memastikan blok pembangkang terbabit kembali menjadi parti pemerintah.

Bagaimanapun, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, parti itu bersama PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) perlu menyelesai segera perbalahan antara mereka jika mahu kembali mentadbir serta menjadi parti pemerintah di negara ini.

Beliau berkata, DAP dan Amanah tidak mengabaikan Anwar dengan memilih Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun menurut beliau, pilihan terbaik dan yang paling berkemungkinan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri seterusnya dengan menaikkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-9 selama enam bulan, sebelum beliau menyerahkan kuasanya kepada Presiden PKR itu tidak lama kemudian.

“Persoalan yang berlegar dalam fikiran ramai orang sekarang adalah kenapa DAP dan Amanah memilih Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dan bukannya Anwar Ibrahim.

“Mereka silap. DAP dan Amanah tidak pernah mengabaikan Anwar dengan memilih Dr. Mahathir, pilihan ini pilihan yang paling berkemungkinan untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kit Siang berharap PH tidak akan mengulangi kesilapan sama jika berjaya merampas kuasa daripada Perikatan Nasional (PN) tidak lama lagi terutama isu peralihan kuasa.

Katanya, persoalan berkenaan jawatan Perdana Menteri yang diselesaikan dengan cara peralihan kuasa mengikut tempoh enam bulan dengan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri kesembilan dan diikuti Anwar Perdana Menteri ke-10.

Beliau mengakui kesilapan telah berlaku sepanjang 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan tidak mahu mengulangi semula kesilapan itu jika berjaya mengembalikan semula mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

“Selesaikan persoalan mengenai calon Perdana Menteri dan perihal peralihan kuasa antara Mahathir sebagai Perdana Menteri kesembilan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, satu sistem untuk mencapai persetujuan berkenaan lantikan utama dalam pakatan haruslah dipersetujui.

“Namun, kita harus bersifat realistik. Dengan semua faktor ini sekalipun, tidak ada jaminan yang kita akan berjaya untuk mengembalikan semula mandat rakyat ini,” katanya. – HAIKA GHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.