COVID-19:Kerjasama Malaysia, Vietnam Hasilkan Vaksin dan Ubat

111

23 JUN: Malaysia dan Vietnam bersepakat meningkatkan kerjasama dalam sektor kesihatan terutama bagi menghasilkan vaksin dan ubat-ubatan untuk COVID-19.

Kesepakatan itu dicapai apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.

Menerusi perbualan itu, kedua-dua pemimpin tersebut berbincang bagaimana untuk bekerjasama dalam mendepani cabaran semasa dan selepas penularan COVID-19.

“Kami berkongsi pengalaman mengenai langkah-langkah yang diambil kedua-dua negara dalam mengawal penularan pendemik itu, di mana setakat ini pendekatan tersebut berhasil,” kata Muhyiddin menerusi hantaran akaun Facebook milik beliau sebentar tadi.

Perdana Menteri menambah, Malaysia menghargai sokongan diberikan Vietnam dalam urusan penghantaran pulang 526 rakyat Malaysia sejak 26 Mac lepas dan pada 10 Mei lalu kerajaan juga membantu menghantar pulang 276 warga Vietnam.

Muhyiddin turut menyatakan sokongan penuh Malaysia terhadap Vietnam selaku Pengerusi ASEAN dan yakin Xuan Phuc mampu memainkan peranan proaktif dalam memimpin tindak balas ASEAN terhadap pencegahan wabak COVID-19.

“Selain memperkukuh hubungan dua hala, kami juga komited untuk memperluas bidang kerjasama meliputi ekonomi, perdagangan, pertanian dan pendidikan untuk kepentingan bersama,” ujar beliau.

Beliau turut menyarankan Vietnam selaku Pengerusi ASEAN memainkan peranan lebih besar dalam membantu Myanmar menanganiisu pelarian Rohingya yang turut menjejaskan Malaysia. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.