COVID-19: Catat Sejarah Hanya 3 Kes Baharu Hari Ini

44

23 JUN: Penularan wabak COVID-19 di Malaysia mencatatkan sejarah hari ini apabila hanya tiga kes baharu direkodkan sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 adalah 8,590 kes termasuk 283 kes masih aktif kebolehjangkitannya.

“Semua kes baharu adalah penularan dalam negara iaitu dua bukan warganegara dan satu warganegara. Tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dilaporkan hari ini.

“Satu kes berkenaan daripada kluster Pedas membabitkan bukan warganegara, manakala kluster meninggal di rumah (MDR) merekodkan pertambahan satu kes warganegara dan bukan warganegara.

“Kedua-dua kes baharu kluster MDR ini ialah ahli keluarga kepada kes ke-8,506,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Noor Hisham turut mengesahkan bahawa kluster persidangan gereja di Kuching yang mula dikesan pada 15 Mac lalu, sudah tamat hari ini.

Katanya, KKM berbuat demikian berikutan tidak mengesan sebarang kes baharu jangkitan dikesan dari kluster sama, selepas tempoh 48 hari iaitu dua kali kitaran pengeraman wabak COVID-19.

“Seramai 2,751 individu yang dikaitkan dengan kluster terbabit disaring sehingga hari ini dan 191 daripadanya didapati positif COVID-19. Daripada jumlah itu sebanyak 12 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiga kes kematian dicatatkan dalam kluster ini, iaitu kes ke-358, ke-2,471 dan ke-2,864.

“Kluster ini meliputi sehingga lima generasi dari pelbagai kawasan di Sarawak dan kini, ia sampai ke pengakhirannya. KKM ingin mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) dan semua petugas yang memberikan perkhidmatan masing-masing dalam segala aktiviti berkaitan kluster ini,” katanya. –HAIKA GHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.