Ahmad Zahid bawa rayuan gabung kes ke Mahkamah Persekutuan

100

23 JUN: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengemukakan rayuan untuk menggabungkan 12 pertuduhan pecah amanah berkaitan dana Yayasan Akalbudi kepada tiga pertuduhan ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam beliau, Hamidi Mohd Noh berkata, tindakan itu diambil selepas rayuan terhadap keputusan menolak permohonan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO untuk menggabungkan 12 kes terbabit di Mahkamah Rayuan hari ini gagal.

Menurut beliau, pihaknya memfailkan permohonan penggabungan tersesebut kerana terdapat pilihan dalam permohonan di bawah Seksyen 153 Kanun Prosedur Jenayah supaya pihak pendakwaan hanya memfailkan tiga sahaja pertuduhan dan bukannya 12 pertuduhan.

“Alasan kita kenapa kita nak failkan rayuan ini dan juga permohonan ini ke mahkamah adalah kerana jumlah 12 itu tinggi dan ia akan beri kesan kepada jumlah hukuman dan sebagainya.

“Kenapa tidak gunakan pilihan tersebut kerana tidak tiga pertuduhan tadi maka akan memprejudiskan hak anak guam kami Datuk Seri Ahmad Zahid,” katanya di luar mahkamah.

Sementara itu, memetik laporan BERNAMA, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini membuat keputusan sebulat suara menolak rayuan Ahmad Zahid terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah, pada 8 November tahun lalu.

Hakim Datuk Yaacob Md Sam yang mengetuai panel itu berkata, panel hakim mendapati tiada kesilapan daripada pihak Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Ahmad Zahid, untuk membolehkan rayuan dikemukakan.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah P. Ravinthran dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, yang hadir di mahkamah, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menggabungkan 12 pertuduhan pecah amanah dihadapinya kepada hanya tiga pertuduhan berhubung dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati 12 pertuduhan sedia ada terhadap Ahmad Zahid adalah jelas dan tertuduh boleh memahaminya untuk membuat persediaan bagi pembelaan, dengan itu tidak menimbulkan sebarang isu prejudis.

Selain itu, beliau memutuskan Seksyen 153 (2) Kanun Prosedur Jenayah tidak menjadikan mandatori untuk pihak pendakwaan menggabungkan pertuduhan berkenaan.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018, serta pada 20 Februari tahun ini, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap sebanyak 47 pertuduhan, 12 daripadanya bagi CBT, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah ditetapkan bersambung pada 3 Julai ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.