3 bulan PH kerja keras, masih gagal cari calon PM

42

23 JUN: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Pakatan Harapan (PH) ekoran kegagalan mereka masih gagal mencari calon Perdana Menteri meskipun sudah tiga bulan bekerja keras.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu memberitahu, matlamat utama PH kini bukannya untuk menyelesaikan masalah rakyat tetapi mencari calon Perdana Menteri.

Beliau menambah, ketika seluruh dunia sedang memerangi wabak COVID-19, PH pula berusaha keras mencari calon Perdana Menteri.

“Bukan suruh korang selesaikan masalah rakyat pun. Cuma nak cari calon PM je. Itupun gagal setelah tiga bulan geng Guan Eng dan Mat Sabu berusaha keras

“Seluruh dunia tengah lawan COVID. Depa tengah berusaha keras untuk cari calon PM pula,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh DAP dan Parti Amanah Negara semalam yang menyatakan kedua-dua parti itu secara konsisten menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Malaysia sejak tahun 1998 dan akan terus berbuat demikian.

Menerusi kenyataan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengakui kedua-dua parti telah berusaha keras sepanjang tiga bulan lalu demi mencari titik persamaan yang dapat diterima semua pihak dalam PH, namun usaha itu belum berjaya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.