15 Individu Ditahan Ingkar Arahan PKPP

51

23 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 15 individu atas kesalahan melanggar dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut tiga individu direman manakala 12 lagi individu dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti refleksologi atau urut dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai lapan warga asing ditahan PDRM menerusi Operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) dan Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

Tegas beliau, PDRM juga telah membuat 72 SJR Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 38, 501 buah kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tegasnya. – AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.