SPRM harus siasat kes penyelewengan PH

326

22 JUN: Ambil langkah pro-aktif siasat kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berlaku di zaman Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Gesaan itu dibuat Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tersebut.

Tegas beliau, siasatan itu perlu bagi membolehkan rakyat membuat perbandingan kes di zaman era kerajaan Barisan Nasional (BN) dan PH sebelum ini walaupun daripada segi tempoh pentadbiran memang jauh berbeza.

Sejak Mei 2018, beliau berkata, SPRM melaksanakan siasatan kes membabitkan pemimpin BN selepas PH berjaya mengambil alih pentadbiran negara.

“Penyiasatan semua kes sudah selesai dan ramai individu didakwa atau masih dalam kes mahkamah. Jadi sudah tiba masanya SPRM menyiasat kes membabitkan pemimpin PH.

“MCM mahu melihat perbandingan kes di era BN dan PH walaupun tempoh pemerintahan jauh berbeza iaitu 60 tahun dan 22 bulan.

“Penangan jenayah rasuah di Malaysia sentiasa di bawah pantauan SPRM dan pasti tidak terlepas bagi memastikan kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Jais berkata, dasar terkini SPRM untuk tidak menguar-uarkan kes yang sedang disiasat penting dan perlu diteruskan.

“Tugas SPRM hanya menyiasat dan mengumpulkan bukti. Rakyat perlu benar-benar faham fungsi ini.

“Malah, SPRM hanya mengangkat kes yang punya lebih dari 90 peratus pembuktian untuk pendakwaan pejabat Peguam Negara,” katanya. – HAIKA GHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.